loading...
Home » » UNS 'JINAK HATI DENGAN ALLAH S.W.T' (Syarah Alhikam Hikmah Ke 111)

UNS 'JINAK HATI DENGAN ALLAH S.W.T' (Syarah Alhikam Hikmah Ke 111)

Diterbitkan Oleh Catatan Seorang Hamba Pada 17 March 2017

UNS ( JINAK HATI DENGAN ALLAH S.W.T )
UNS ( JINAK HATI DENGAN ALLAH S.W.T )

APABILA KAMU BERASA HILANG MINAT KAMU KEPADA MAKHLUK, MAKA KETAHUILAH BAHAWA AKAN DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU BERJINAK-JINAK DENGAN ALLAH S.W.T.

Kehidupan ini pada zahirnya dikawal oleh hukum sebab musabab. 
Hukum sebab musabab berjalan melalui makhluk, maka kelihatanlah tindakan makhluk mencorakkan berbagai-bagai keadaan dan peristiwa. 
Kehidupan ini adalah umpama sebuah keretapi. 
Pengalaman yang diharungi oleh seseorang menjadi batang-batang besi sambung menyambung membentuk landasan dan memaksa keretapi bergerak mengikut  arah yang terbentuk. Keretapi tersebut bergerak mengheret gerabak-gerabak yang muatannya adalah berbagai-bagai anasir yang berkumpul dalam sistem sebab musabab, terdiri daripada berbagai-bagai jenis makhluk, memakai berbagai-bagai rupa dan nama. 

Semakin banyak sistem sebab musabab yang dikumpulkan semakin banyak juga makhluk yang mengenderai keretapi. Jika bahan yang dibawa terlalu banyak enjin keretapi tidak terdaya menarik gerabak-gerabak yang penuh dengan muatan itu. 
Keadaan ini memaksa keretapi berhenti kerana kehabisan tenaga. 

Tatkala itu semua bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapi perlu dinilai semula.
 Hasil daripada penilaian semula akan didapati banyak daripada muatannya adalah bahan yang tidak berguna. Sebahagiannya adalah sampah sarap dan sebahagian lagi benda-benda sisa buangan yang kotor dan menjijikkan. Banyak juga sisa toksid yang memudaratkan.

Sesiapa yang membuat penilaian semula terhadap bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapinya pasti akan menggelengkan kepalanya, melihat kebodohan dirinya sendiri mengangkut, mengheret dan menjaga benda-benda yang tidak berguna, kotor, menjijikkan dan memudaratkan. 

Lalu dia membuat keputusan untuk melepaskan gerabak-gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang demikian. Gerabak-gerabak tersebut dicantumkan oleh penyambung-penyambung. Penyambung perlu dibuang untuk melepaskan gerabak berkenaan. Penyambung yang perlu dibuang adalah yang dipanggil kasihkan dunia, panjang angan-angan, menurutkan syahwat, gemar kepada kemasyhuran, hasad dengki, dendam dan lain-lain yang seumpamanya. 

Dia sudah sedar bahawa penyambung-penyambung tersebutlah yang memaksanya membawa beban yang berat menyebabkan kuasa enjinnya digunakan dengan sia-sia. 
Bila semua penyambung berkenaan sudah dilepaskan maka terpisahlah semua gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang tidak berguna tadi. Keretapinya pun dapat meneruskan perjalanan dengan selesai.

 Ketika di dalam suasana asbab, ahli asbab yang menghadapi makhluk yang bertindak dalam sistem sebab musabab akan mengadakan sebab musabab juga untuk melepaskan dirinya dari sebab musabab yang menguasainya. 

Kadang-kadang sebab musabab yang mendatang mengatasi kekuatan sebab musabab yang diciptanya. 
Dalam perkara ini, yang mendatang dapat mengalahkannya.
 Ini menyebabkan jiwanya berasa tertekan. 
Bila tekanan itu menjadi sangat kuat dan dia tidak berdaya menahannya, dia akan memberontak dengan melawan sistem sebab musabab itu sendiri, termasuklah makhluk yang terlibat dalam arus sebab musabab. Perlawanan yang dilakukannya bukanlah mengadakan sebab musabab yang lebih kuat, tetapi dia menentang dengan cara membebaskan dirinya dari sebab musabab, iaitu dia melepaskan rantai kekuasan makhluk terhadap dirinya. 

Dia menanggalkan asbab dan digantikannya dengan tajrid.

Dalam suasana asbab hati menghadap kepada makhluk dan sibuk melayani kerenah makhluk yang mendatanginya. Bila hati melangkah kepada suasana tajrid ia akan menghadap kepada Tuhan dan tidak mengambil berat tentang kerenah makhluk. 
Hati hanya mempunyai satu muka. 
Jika ia menghadap kepada makhluk ia membelakangi Tuhan dan jika ia menghadap kepada Tuhan ia membelakangi makhluk.
 Apabila Allah s.w.t berkehendak memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya, hati hamba itu dipalingkan kepada-Nya. 
Hati yang menghadap kepada Allah s.w.t akan merasakan jalinan kemesraan dengan-Nya. 
Hati menyukai apa yang Allah s.w.t sukai. Ia gemar melakukan amal ibadat kerana Allah s.w.t sukakannya. 

Ia sanggup melakukan amal ibadat dengan banyak semata-mata kerana mahu menggembirakan Allah s.w.t. Tidak ada niat untuk dunia atau akhirat. Segala-galanya kerana Allah s.w.t. Suasana hati yang begini dinamakan uns, iaitu hati berasa jinak dengan Allah s.w.t.

Uns adalah sebahagian daripada pengalaman hakikat. 
Ia memberi tenaga kepada rohani agar kuat menempuh dugaan yang hebat dan gemar melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh.

 Uns menjadi tenaga yang membawa cinta-kasih yang mendalam terhadap Allah s.w.t.  

Cinta-kasih menjadi tangga untuk mencapai muraqabah. 
Muraqabah (bebas hati dari pengaruh makhluk) menjadi tangga untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi, di mana hati nurani disinari oleh Nur Ilahi Yang Maha Suci membuka Cinta Hakiki yang tidak terbatas kepada zat Yang Maha Esa.

 Tanda seseorang itu dibukakan kepadanya pintu uns yang boleh membawa kepada pintu-pintu lain adalah orang yang berkenaan tidak berminat untuk melayani kerenah makhluk. 
Dia lebih suka bersendirian dengan khalwatnya. 
Kegiatannya adalah mengingati Allah s.w.t sepanjang masa, ketika duduk, berdiri dan berbaring.
 Dalam suasana yang demikian terbukalah kepadanya pintu hikmah untuk menyaksikan kebesaran Allah s.w.t pada sekalian kejadian-Nya.

Al-Quran menceritakan hubungan hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan banyak mengingati-Nya sehingga terbuka pintu tafakur untuk mengenali Allah s.w.t:

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan  duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-li ‘Imran )

Hati yang sudah berpaling kepada Allah s.w.t dipalingkan daripada tipu daya syaitan.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka  ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). ( Ayat 201 : Surah al-A’raaf )

Begitulah, apabila Allah s.w.t mahu menolong hamba-Nya, dijinakkan hati hamba itu agar menghadap kepada-Nya dan dipelihara-Nya hati itu daripada musuh-musuhnya

Terimakasih Sudah Membaca Artikel Ini & Jangan Lupa Dishare Ya, By Catatan Seorang Hamba

Posting Sebelumnya
« Lihat Postingan Sebelumnya
Selanjutnya
Post Selanjutnya »

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Sudah Berkunjung ! Lihat Update Berikutnya